Maksud Jalur Gemilang

jalur gemilang feature
JALUR- menggambarkan Bendera Malaysia yang mempunyai 14 jalur merah dan putih. Oleh itu, lambang jalur pada Bendera Malaysia menggambarkan satu laluan yang lurus, hala tuju yang sama dan arah yang sama yang dianuti oleh rakyat negara ini dari Perlis hingga ke Sabah dalam menuju kegemilangan bangsa dan negara.


GEMILANG- bermaksud bercahaya, terang benderang dan cemerlang. Oleh yang demikian, Bendera Malaysia Jalur Gemilang memberi pengertian bahawa jalur atau bendera itu melambangkan kecemerlangan negara Malaysia dan rakyat Malaysia dalam mengharungi apa bidang kehidupan sekalipun sama ada di dalam atau di luar negara.


Kesungguhan, kegigihan dan kesanggupan rakyat untuk menaikkan imej negara, sesungguhnya sentiasa mendapat petunjuk dan pedoman yang terang lagi jelas.


Jalur atau Bendera melambangkan citra atau imej negara dan rakyat yang patriotis, gigih, gagah dan berani menghadapi cabaran serta sanggup berkorban demi agama, bangsa dan negara. Warna merah melambangkan gagah dan berani menghadapi cabaran. Warna putih melambangkan keluhuran budi dan warna biru melambangkan rakyat yang bersatu padu dan hidup rukun damai. Warna kuning pula melambangkan kesetiaan rakyat kepada Raja dan negara.